fb fb fb fb fb

Pearly-Thinaah terlepas peluang pertahan gelaran di Hong Kong

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 13 September - Hasrat beregu utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah untuk mempertahankan gelaran juara Kejohanan Terbuka Hong Kong tidak kesampaian.

Gandingan negara terkandas di separuh akhir apabila tewas kepada pasangan China, Jia Yi Fan-Zhang Shu Xian 14-21, 11-21 dalam tempoh hanya 35 minit.

Kekalahan itu menutup kempen Malaysia pada edisi kali ini selepas naib juara dunia itu menjadi wakil tunggal skuad negara melangkah ke separuh akhir.

Menurut Thinaah, mereka terpaksa mengambil pendekatan bertahan selepas serangan lawan bersifat agresif dan menekan.

"Saya rasa kami perlu perbaiki aspek itu dan lebih berwaspada," katanya.

Pearly pula berkata mental mereka agak rapuh ketika cuba mencari lebih banyak mata sewaktu mendahului, sekali gus menyebabkan mereka hilang fokus dan corak permainan sendiri.

Pada edisi 2024 lalu, Pearly-Thinaah muncul juara Terbuka Hong Kong selepas menundukkan Liu Shengshu-Tan Ning dari China di pentas akhir.

MUHAMMAD 'AZAMUDDIN HUSSAIN