fb fb fb fb fb

Piala Agong : Terengganu langkah kanan, jinakkan W.Persekutuan 49-11

Aksi pemain flyhalf Terengganu Ahmad Aiman Asrul membuat tendangan conversion sewaktu perlawanan pembukaan Piala Agong 2025 bertemu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bertempat di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kompleks Sukan Negeri Terengganu

KUALA TERENGGANU, 7 September - Terengganu membuka tirai kempen Piala Agong 2025 dengan penuh bergaya apabila menundukkan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 49-11 di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kompleks Sukan Negeri Terengganu.

Kejuaraan edisi kali ini turut mencipta sensasi tersendiri apabila Tengku Muhammad Ismail ibni Al-Whatiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli menyaksikan perlawanan pembukaan. Baginda diiringi kekandanya, Tengku Puteri Utama Raja Tengku Dato Seri Nadhirah Zahrah binti Sultan Mizan Zainal Abidin, berkenan menyempurnakan majlis penyampaian jersi pasukan ragbi Terengganu yang mendapat tajaan daripada Yayasan Tuanku Nur Zahirah. Turut hadir, Presiden Kesatuan Ragbi Malaysia, Amir Amri Mohammad.

0709 SKN TRG RAGBI PIALA AGONG 22Tengku Muhammad Ismail ibni Al-Whatiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin diiringi kekandanya, Tengku Puteri Utama Raja Tengku Dato Seri Nadhirah Zahrah binti Sultan Mizan Zainal Abidin sewaktu mencemar duli hadir ke Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail, Kompleks Sukan Negeri Terengganu untuk menyempurnakan majlis penyampaian jersi pasukan ragbi Terengganu

Skuad bimbingan Aminuddin Sulong bermula pantas dengan tendangan penalti oleh Ahmad Aiman Asrul seawal minit kedua, sebelum menambah tiga jatuhan try, dua tendangan conversion dan satu penalti lagi untuk menguasai separuh masa pertama 25-8.

Wilayah Persekutuan yang dikendalikan bekas jurulatih kebangsaan, Ahmad Fadzlee Ahmad Idriss, gagal bangkit di babak kedua apabila kesilapan mudah dimanfaatkan Terengganu untuk menambah deretan mata. Pemain import tuan rumah, Waidilo Alipate menyumbang try pada minit ke-47 sebelum dua lagi try berserta conversion menjadikan kedudukan selesa 44-8.

Pasukan pelawat hanya mampu menambah tiga mata menerusi tendangan penalti Shree Sharman, manakala Terengganu terus berpesta dengan try terakhir hasil larian Muhammad Hadi Haiqal Abdullah bagi menoktahkan kemenangan 49-11.

Bagaimanapun, Terengganu turut menerima layangan kad kuning menerusi pemain gantian Muhammad Shafiq Mohd Zhahid pada minit ke-74, namun ia tidak menjejaskan rentak tuan rumah.

Mengulas kemenangan itu, jurulatih Aminuddin menegaskan kejayaan berkenaan hadir hasil keberanian menurunkan hampir 90 peratus muka baharu termasuk bekas pemain SUKMA, selain mengakui masih banyak kelemahan komunikasi yang perlu diperbaiki menjelang perlawanan menentang Pahang minggu depan.

"Kami mempertaruhkan hampir 90 peratus muka-muka baru yang membuat penampilan pertama di pentas Piala Agong ini di mana rata-rata pemain ini adalah mereka yang telah beraksi dalam Liga Ragbi Terengganu pada tahun ini. Begitu juga beberapa pemain Terengganu dari skuad SUKMA terdahulu.

"Tidak dinafikan untuk perlawanan ini banyak kesilapan komunikasi telah berlaku di dalam padang yang merencatkan taktikal pasukan namun untuk keputusan hari ini tidak bermakna meletakkan pasukan ini dalam keadaan selesa untuk perlawanan seterusnya bertemu Pahang nanti," ujarnya.

0709 SKN TRG RAGBI PIALA AGONG353Aminuddin Sulong yang juga merupakan presiden Persatuan Ragbi Daerah Kemaman membuat penampilan pertama selaku Ketua Jurulatih Terengganu di pentas Piala Agong

Sementara itu, aksi lain minggu pertama menyaksikan Johor membelasah Pahang 122-17, Perlis mengejutkan Kelantan 21-10, manakala Selangor tidak berdepan masalah menundukkan Kedah 46-3 di laman sendiri.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE