BRASILIA, 7 September - Atlet wushu negara, Lee Jia Rong, menampilkan aksi cemerlang apabila menghadiahkan emas keempat buat kontinjen negara pada hari keempat Kejohanan Dunia Wushu ke-17 di Brasilia, Brazil.
Ia juga merupakan pingat kedua buat Jia Rong pada kejohanan berprestij itu selepas meraih gangsa dalam acara Gunshu sebelum ini.
Dalam acara Daoshu pada Sabtu, Jia Rong mencatat 9.726 mata untuk merangkul emas sulungnya di pentas dunia itu.
Walaupun berkongsi jumlah mata dengan wakil Hong Kong, Michelle Yeun, kelebihan darjah kesukaran dalam persembahan mengangkat Jia Rong ke tangga teratas podium.
Gangsa acara itu menjadi milik atlet Jepun, Kana Ikeuchi, yang mengutip 9.723 mata.