KUALA LUMPUR, 13 SEPTEMBER - Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka tirai kempen Piala Agong 2025 dengan penuh bergaya apabila membelasah pasukan Kedah dengan keputusan 125-0.
Berlangsung di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur, pasukan PDRM mempamerkan aksi cemerlang sepanjang masa permainan, mendominasi sepenuhnya dan tidak memberi sebarang ruang kepada pasukan lawan untuk mencatat mata.
PDRM memulakan perlawanan agresif, dengan Hazim FadilaFadil dan Mohamad Syawal Fazil memainkan peranan penting apabila menyempurnakan 15 tendangan 'conversion' berjaya, sekaligus menyumbang jumlah mata yang besar kepada pasukan.
Muhammad Imran Najmi pula menjadi watak utama di bahagian serangan apabila berjaya melakukan empat 'try', mengukuhkan lagi kedudukan PDRM.
Mohamad Syawal Fazil menoktahkan kemenangan bergaya pasukannya dengan satu lagi tendangan 'conversion' pada minit ke-80, sekaligus mengesahkan keputusan akhir 125-0 dan kemenangan mutlak milik PDRM.
Mengulas mengenai kemenangan itu, jurulatih Pasukan PDRM, Dinesvaran Duke Krishnan berkata, walaupun kemenangan mampu dijangka, ia tetap membawa beberapa elemen mengejutkan, terutamanya dari segi marjin kemenangan.
"Kemenangan hari ini memang kami jangka, tapi kami tak sangka bezanya akan jadi sebesar ini, jadi kami hanya fokus untuk dapatkan kemenangan dan kekal dengan perancangan permainan.
"Strategi utama kami adalah bermain seperti biasa, cuma ini merupakan perlawanan pertama untuk pemain-pemain import PDRM, jadi kami ambil peluang untuk uji kesemua pemain," katanya ketika ditemui selepas perlawanan rugbi Piala Agong 2025 di sini, hari ini.
Tambah beliau, pasukannya akan terus memperbaiki prestasi dan memberi tumpuan kepada aspek yang boleh ditingkatkan menjelang perlawanan seterusnya.
Pasukan PDRM akan menentang pasukan Perlis pada Sabtu depan di Pusat Latihan Polis, Kuala Lumpur.
