SETIU, 13 September - Kejuaraan kuda lasak paling berprestij dalam negara, Piala Sultan Mizan 2025 kembali membuka tirai penganjuran pada tahun ini dengan penyertaan 128 pelumba termasuk pelumba dari luar negara.
Antara yang mengambil bahagian pada perlumbaan di Terengganu International Endurance Park (TIEP) di Lembah Bidong, Setiu ini adalah dari negara Thailand, Singapura, Indonesia, Jepun, China, Belarus dan Rusia
Menambah prestij cabaran buat setiap pelumba, Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah turut mencemar duli bersama kudanya untuk berentap bagi acara C-E-I Two Star 120 kilometer (km).
Turut kembali membuat penampilan di litar lumba kuda lasak, Lembah Bidong ini ialah bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain yang beraksi bagi kategori C-E-N 80 km bersama pasukan Unit Berkuda PDRM.
Sebanyak empat kategori keseluruhan dipertandingkan di mana kejuaraan bagi edisi kali ini dijadual akan melabuhkan tirai pada pagi esok.
