KUALA LUMPUR, 1 Januari-Malaysia perlu tampil dengan lebih agresif apabila turun menentang Singapura pada aksi terakhir peringkat kumpulan B, Piala AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa ini.
Pemain naturalisasi negara, Lee Tuck berkat askuad Harimau Malaya perlu memburu jaringan sebanyak mungkin bagi memastikan kemenangan dalam genggaman, sekali gus mara ke peringkat separuh akhir.
Menurut Tuck, Singapura pastinya akan menggunakan strategi bertahan bagi menghalang Malaysia menembusi benteng mereka.
Taktik tersebut jelas memberi kelebihan kepada mereka apabila berjaya mengikat pendahulu kumpulan, Vietnam tanpa jaringan, sekali gus merampas tempat skuad negara di tangga kedua.
“Saya fikir taktik perlawanan itu nanti adalah sama iaitu bertahan kerana mereka hanya perlu seri untuk mendapatkan satu mata. Jadi kami main dengan agresif dan dapatkan jaringan awal serta memenangi perlawanan", ujarnya.
Menurutnya lagi, skuad Harimau Malaya mempunyai kemampuan dan kelebihan bagi memenangi perlawanan dan mara ke separuh akhir.
"Saya berpendapat pasukan negara mempunyai kualiti bagi menewaskan Singapura dan menjaringkan gol sebanyak mungkin", katanya kepada media.
Penyerang berusia 34 tahun itu juga yakin skuad negara tidak akan berasa tertekan apabila berdepan Singapura pada pertemuan tersebut.
Jelasnya, semua pemain Harimau Malaya kini sudah tidak sabar untuk mencipta kemenangan ke atas skuad Singa itu, sekali gus menjamin tempat ke separuh akhir sebagai naib juara kumpulan.
(Pemain Harimau Malaya Lee Tuck berkata Pasukan negara perlu agresif apabila
menetang Singapura Selasa ini /FOTO RTM)