KUALA LUMPUR, 1 Januari-Skuad hoki lelaki negara bakal mengharungi pelbagai rintangan apabila turun beraksi di Kejohanan Piala Dunia 2023 di India, bulan ini.
Bukan sahaja berdepan cabaran pasukan gergasi di atas padang, malah mereka juga terpaksa menempuhi jarak perjalanan yang jauh di antara venue, selepas kejohanan ini diadakan di dua bandar utama di Odisha, iaitu Bhubaneswar dan Rourkela.
Jarak di antara dua bandar itu kira-kira 300 kilometer bakal memakan masa hingga 9 jam perjalanan melalui darat atau dua jam penerbangan.
Situasi itu menyaksikan skuad ‘Speedy Tigers’ yang berada di ranking ke-11 dunia, perlu berulang alik untuk berdepan beberapa perlawanan dijadualkan.
Mereka akan berlepas ke Bhubaneswar Jumaat ini dan meneruskan perjalanan ke Rourkela menaiki pesawat disewa khas penganjur untuk tiga perlawanan pertama, sebelum terbang kembali ke Bhubaneswar bagi perlawanan seterusnya.
Di Rourkela, Malaysia akan bertemu Sepanyol dalam aksi pemanas badan pada 11 Januari sebelum memulakan kempen Kumpulan C menentang juara tiga kali dan pasukan nombor tiga dunia, Belanda pada 14 Januari.
Skuad kendalian A. Arul Selvaraj itu seterusnya berdepan Chile (16 Jan) sebelum aksi terakhir menentang pasukan nombor sembilan dunia, New Zealand (19 Jan).
Berdasarkan format kejohanan, juara kumpulan akan layak ke suku akhir, manakala pasukan tangga kedua dan ketiga akan bersaing di peringkat kalah mati bagi memburu slot ke pusingan tersebut.
(Jurulatih A.Arul Selvaraj sedang memperkatakan sesuatu kepada para pemain
'Speedy Tiger'/FOTO RTM)