BARCELONA, 1 Januari- Pemain sayap Real Madrid, Vinicius Jr menuduh pengurusan bola sepak Liga Sepanyol, La Liga tidak melakukan sebarang tindakan susulan berhubung penderaan berbaur perkauman terhadapnya.
Kali ini, Vinicius Jr diejek oleh beberapa penyokong di Stadium Jose Zorilla ketika pertemuan Real Madrid dengan Real Valladolid pada Jumaat.
Keputusan perlawanan menyaksikan Real Madrid menang 2-0, dengan jaringan gol penyerang, Karim Benzema pada penghujung minit perlawanan.
"Penderaan perkauman terus berlarutan di stadium untuk menonton kelab terbesar dunia dari dekat, namun La Liga tidak berbuat apa-apa.
"Saya akan teruskan mendongak dan meraikan kemenangan saya dan Madrid," tulis Vinicius Jr di Instagramnya pada Sabtu.
September tahun lalu, peminat Atletico Madrid dirakam menyanyikan lagu berbaur perkauman terhadap Vinicius sebelum perlawanan derby Madrid di Wanda Metropolitano.
Bagaimanapun, jurucakap La Liga menafikan tuduhan pemain Brazil itu dan tidak berkompromi dengan pelaku tersebut.
"Kami tidak pernah membenarkan ucapan berunsur kebencian dan perkauman dalam La Liga. Kami sedang menyiasat perlawanan malam tadi dan akan bekerjasama dengan kelab serta pihak berkuasa bagi mengenal pasti pelaku yang bersalah melemparkan kebencian itu," kata jurucakap La Liga itu menerusi satu kenyataan.
Terdahulu, La Liga pernah membawa kes sama ke mahkamah susulan peminat yang dituduh menghina pemain.
Pada Disember, pendakwa raya Sepanyol menutup siasatan terhadap laungan perkauman oleh peminat Atletico yang ditujukan kepada Vinicius dengan mengatakan tidak mungkin untuk mengenal pasti mereka yang melaungkan ungkapan kesat itu.-AFP
(FOTO AFP)