fb fb fb fb fb

Piala AFF 2022: Malaysia ungguli Kumpulan B, tewaskan Laos

(Pemain negara, Faisal/Halim diasak pemain Laos pada aksi perlawanan kedua peringkat
kumpulan B saingan Piala AFF di Stadium Nasional Bukit Jalil, FOTO FB FAM)

KUALA LUMPUR, 25 Disember- Malaysia merampas posisi pendahulu Kumpulan B dalam saingan Piala AFF 2022 selepas membenam Laos 5-0 pada perlawanan kedua di Stadium Nasional di Bukit Jalil di sini, pada malam Sabtu.

Pemain sayap sensasi Mohamad Faisal Halim, meneruskan rentak cemerlangnya apabila meledak dua gol pada babak kedua perlawanan.

Dua gol tersebut menuyusuli jaringan pendahuluan pemain naturalisasi Sergio Aguero, meletakkan skuad Harimau Malaya di depan pada separuh masa pertama.

Pemain gantian, Muhammad Haqimi Azim Rosli dan Stuart Wilkin, masing-masing melengkapkan kemenangan selesa pasukan negara pada lewat permainan.

Malaysia bukan sekadar meraih tiga mata kedua, tetapi turut mengurangkan perbezaan gol dengan Vietnam di kedudukan kedua, yang kurang satu perlawanan.

Perlawanan tersebut dilaporkan dihadiri lebih 29,000 penonton.


(Pemain pasukan kebangsaan meraikan jaringan pada aksi perlawanan Kumpulan B AFF
Mitsubishi Electric Cup 2022 antara Malaysia dan Laos di Stadium Nasional Bukit Jalil/BERNAMA)

Malaysia akan menentang Vietnam pada perlawanan ketiga kumpulan Selasa depan.

Sementara itu, Singapura bangkit daripada ketinggalan untuk melakar kemenangan 3-2 ke atas Myanmar, pada satu lagi aksi Kumpulan B di Stadium Jalan Besar, pada sebelah petang.

Myanmar bermula dengan baik di gelanggang lawan selepas mendahului pada minit ke-34 menerusi Maung Maung Lwin, namun kedudukan itu tidak kekal lama apabila Ilhan Fandi menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-45. 

Perlawanan lebih menarik pada babak kedua apabila Shah Shahiran meletakkan Singapura di depan empat minit selepas rehat tetapi Myanmar bangkit untuk kembali mengikat kedudukan menerusi gol kedua peribadi Maung Lwin pada minit ke-66.   

Shawal Anuar muncul wira Singapura apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-74 untuk menghadiahkan tiga mata pertama kepada pasukan.

Malaysia kini mengumpul enam mata untuk mendahului saingan kumpulan diikuti Vietnam di tempat kedua berkongsi tiga mata dengan Singapura di tangga ketiga, hanya dibezakan dengan jumlah jaringan manakala Myanmar dan Laos masing-masing di kedudukan kedua tercorot tanpa mata.

 

Media Baharu