fb fb fb fb fb

Arul tidak tekan butang panik soal kecederaan pemain

(Foto fail)

KUALA LUMPUR, 24 Disember- Meskipun dihimpit isu kecederaan pemain, ketua jurulatih skuad hoki lelaki kebangsaan A. Arul Selvaraj optimis mampu menyediakan barisan pemain yang cergas dalam masa terdekat sebelum aksi Piala Dunia Hoki 2023 di Bhubaneswar-Rourkela, India yang akan membuka tirai pada 13 Jan depan.

Menurut Arul, beliau tidak mahu terlalu memikirkan isu itu, sebaliknya ingin lebih fokus kepada soal pemilihan pemain yang mampu menggalas cabaran bagi membawa pasukan negara mara sekurang-kurangnya sehingga peringkat suku akhir.

“Tarikh untuk kemukakan nama pemain kepada Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) adalah pada 30 Dis ini, jadi kita akan kemukakan senarai pemain sebelum itu,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penghargaan Skuad Piala Sultan Azlan Shah dan Skuad Piala Asia Hoki Dalam Dewan Lelaki Dan Wanita di sini hari ini.

Sebelum ini, tiga pemain di bawah kendaliannya disahkan tidak dapat beraksi di India selepas mengalami kecederaan iaitu penjaga gol Zaimi Mat Deris (hamstring), pemain tengah Nik Aiman Rozemi (lutut) dan penyerang Azrai Aizad Abu Kamal (jari).


(Ketua Jurulatih Skuad Hoki Lelaki Kebangsaan A. Arul Selvaraj)

Sementara itu, Arul berkata sebelum pemilihan dimuktamadkan, kesemua pemain yang berada dalam skuad berpeluang untuk membuktikan mereka layak beraksi dalam kejohanan itu.

“Kesemua pemain diberikan masa beraksi yang seimbang jadi mereka berpeluang untuk dipilih,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau memaklumkan skuad ‘Speedy Tigers’ akan mengharungi satu perlawanan persahabatan berdepan Sepanyol pada 11 Jan depan sebagai aksi pemanas badan sebelum kejohanan itu bermula.

Skuad negara akan menghadapi dua aksi Kumpulan C di Stadium Antarabangsa Birsa Munda, Rourkela menentang Belanda (14 Jan) dan Chile (16 Jan) sebelum bertemu New Zealand di Bhubaneswar pada 19 Jan.

Pencapaian terbaik skuad hoki lelaki kebangsaan pada Piala Dunia ialah meraih tempat keempat di laman sendiri pada 1975, manakala edisi terakhir empat tahun lepas di India, menyaksikan skuad negara sekadar di kedudukan ke-15.- BERNAMA

Media Baharu