KUALA LUMPUR, 1 Disember - Persekutuan Sukan Boules Malaysia (MBSF) optimis membawa pulang sekurang-kurangnya satu pingat emas menerusi skuad petanque negara pada Sukan SEA Thailand 2025 yang membuka tirai Selasa depan.
Pemangku Presiden MBSF, Cheah Ban Cheng, berkata keyakinan itu berdasarkan persiapan rapi atlet serta perkembangan terkini melibatkan pasukan utama rantau ini.
Penarikan diri Kemboja antara kuasa besar tradisi petanque Asia Tenggara turut memberi ruang lebih luas kepada Malaysia untuk memburu podium.
“Kami hanya mengetahui melalui media bahawa Kemboja menarik diri daripada Sukan SEA di Bangkok. Kemboja secara tradisinya kuasa besar petanque, jadi sudah tentu ia membuka peluang kepada negara lain termasuk Malaysia untuk bersaing merebut podium,” katanya pada sidang media di Wisma OCM, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Ban Cheng menegaskan situasi itu bukan alasan untuk pasukan berada dalam zon selesa.
Beliau berkata MBSF meletakkan sasaran semua acara diburu dengan misi emas, namun secara realistik mahu memastikan sekurang-kurangnya meraih kedudukan podium.
“Sudah tentu setiap acara kami akan berusaha untuk emas. Jika tidak dapat, sekurang-kurangnya kita mahu berada di podium. Kita ada 11 acara termasuk shooting dan perseorangan yang bermula pada hari pertama,” katanya.
Mengenai sasaran keseluruhan, beliau memaklumkan mesyuarat teknikal bersama Majlis Sukan Negara (MSN) menetapkan sasaran empat pingat, dengan warna bergantung kepada prestasi semasa atlet.
Seramai 24 atlet petanque akan menggalas cabaran negara di Bangkok, terdiri daripada 12 pemain lelaki dan 12 pemain wanita.
Antara pemain senior yang menjadi tumpuan ialah Saiful Bahri Musmin, Muhamad Hafizuddin Mat Daud dan Syed Akmal Fikri Syed Ali.