fb fb fb fb fb

Flamengo julang piala Copa Libertadores

Pemain Flamengo bergambar bersama trofi selepas menjuarai final Copa Libertadores di Estadio Monumental/Foto REUTERS

LIMA, 1 Disember – Ketua jurulatih Flamengo, Filipe Luis, menyifatkan kejayaan menjulang Copa Libertadores sebagai pencapaian “objektif utama” kelab itu pada musim ini selepas menewaskan Palmeiras 1-0 di Estadio Monumental, Sabtu lalu.

Kemenangan tersebut turut mengekalkan dominasi Brazil dalam kejohanan itu selama tujuh tahun berturut-turut, sekali gus mengukuhkan status Flamengo sebagai kuasa besar bola sepak Amerika Selatan.

Bercakap pada sidang media selepas perlawanan, Luis memuji pengorbanan dan komitmen pemainnya sehingga berjaya melangkah ke final dan mengangkat trofi, sambil menegaskan Flamengo kini memiliki pasukan dengan “identiti yang kuat”.

“Ini sangat bermakna… isteri saya pun tahu, terlalu banyak jam kerja. Akhirnya, jurulatih diadili melalui keputusan,” katanya.

Sidang media itu sempat ‘kecoh’ apabila para pemain Flamengo masuk ke bilik media dan membasahkan ketua jurulatih mereka dalam satu aksi meraikan kejayaan.

Dalam saingan liga domestik, Palmeiras kini ketinggalan lima mata di belakang Flamengo dengan dua perlawanan berbaki dalam Brasileirão.

Bagi Flamengo, kemenangan ini dianggap sebagai penebus kekecewaan selepas tewas kepada Palmeiras pada final edisi 2021. - REUTERS

GRACE AISYAH KEDAYAN