TAIPING, 1 Disember - Heritage Ride Taiping menerima penyertaan lebih 2,200 peserta dari seluruh negara dalam acara berbasikal yang mempromosikan gaya hidup sihat dan penyertaan belia.
Kayuhan yang dilepaskan pada 7 pagi tadi di Dataran Warisan Taiping itu merangkumi tiga kategori iaitu 90km, 60km dan Kayuhan Santai 20km.
Kayuhan tiga kategori itu melalui laluan sekitar Sepetang, Simpang Empat dan Kamunting.
Acara anjuran Kelab Berbasikal Elit dan Gosportz Sdn Bhd dengan sokongan Ahli Parlimen Taiping, Wong Kah Woh.
Wong berkata kayuhan itu terus menjadi platform mengukuhkan semangat komuniti dan mempromosi Taiping sebagai destinasi berbasikal utama negara.
“Tahun lalu penganjuran ini bersempena ulang tahun ke-150 Taiping. Tahun ini kita teruskan momentum itu untuk mengangkat warisan dan membina komuniti lebih sihat,” kata Wong menerusi kenyataan pada Isnin
Edisi tahun ini turut menerima bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) iaitu 250 penyertaan percuma untuk pelajar berusia 7 hingga 17 tahun.
KTM Berhad pula meneruskan sokongan dengan perkhidmatan tren khas terus ke Taiping bersama basikal, yang mendapat sambutan sehingga habis ditempah.
Selain kayuhan, Dataran Warisan turut dimeriahkan dengan trak makanan, aktiviti penaja dan cabutan bertuah, manakala pemenang setiap kategori menerima pingat dan hadiah wang tunai.