KUALA LUMPUR, 1 Disember - Majlis Sukan Negara (MSN) sedang meneliti semula kos susulan pemindahan 10 acara Sukan SEA 2025 dari Songkhla ke Bangkok, berikutan banjir yang menjejaskan wilayah selatan Thailand.
Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Mohd Nasir Ali, berkata perubahan lokasi itu pasti memberi impak kepada perbelanjaan keseluruhan kontinjen negara.
"Memang dengan pemindahan daripada Songkhla ke Bangkok akan melibatkan pertambahan kos, terutamanya kos penerbangan, pengangkutan dan mungkin penginapan.
"Semua ini sedang dikaji semula oleh MSN. Kita masih kekal dengan kategori A dan B untuk kategori A ditanggung MSN, manakala kategori B persatuan perlu mencari dana tambahan," katanya ketika ditemui dalam sidang media di Wisma OCM di ibu negara.
Beliau turut memaklumkan kesediaan pihak tuan rumah untuk menampung sebahagian penambahan kos ekoran pemindahan lokasi.
"Biasanya tuntutan itu dibuat selepas temasya. Yang penting sekarang ialah memastikan atlet dapat terbang ke Bangkok dan mempunyai tempat tinggal yang sesuai," katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan perpindahan ke Bangkok dapat memudahkan pemantauan atlet, memandangkan lebih ramai pegawai MSN dan MOM akan ditempatkan di ibu negara Thailand itu.
“Kita dah atur ketua kontijen (CDM) dan pegawai di dua lokasi sebelum ini. Bila beralih ke Bangkok, ia sedikit sebanyak memudahkan. Cuma perjalanan ke venue sahaja yang mungkin memakan masa,” katanya.
Terdahulu, 10 acara Sukan SEA 2025 disahkan dipindahkan ke Bangkok susulan banjir di wilayah selatan Thailand.
Acara terlibat ialah Muay Thai, bola sepak lelaki, catur, kabaddi, wusyu, pencak silat, judo, petanque, karate dan gusti.