KUALA LUMPUR, 17 Oktober- Malaysia gagal memenangi Pestabola Merdeka selepas tewas kepada Tajikistan 2-0 pada perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil sebentar tadi.
Tajikistan membuka tirai jaringan seminit sebelum rehat menerusi penyerang Rustam Soirov selepas menerima umpanan Alisher Shukorov.
Bersambung selepas rehat, skuad negara tampak mendominasi permainan dan hampir menyamakan kedudukan namun tandukan Brendan Gan sekadar melepasi palang.
Begitu juga dengan percubaan oleh pemain sayap Faisal Halim yang melakukan rembatan ke arah gol pada minit ke-76 tetapi bola terkena tiang.
Ketika Malaysia memburu gol kemenangan, Tajikistan mendapat gol kedua pada minit ke-87 apabila penyerang gantian Sharom Samiev memanfaatkan 'salah faham' antara bek tengah Dominic Tan dan penjaga gol Ahmad Syihan Hazmi.
Ini adalah kali pertama Tajikistan memenangi Pestabola Merdeka. Malaysia memenangi edisi terdahulu pada 2013 apabila menewaskan Myanmar 2-0 pada perlawanan akhir.