fb fb fb fb fb

Pestabola Merdeka: Harimau Malaya terlepas gelaran edisi ke-13

(Reaksi kecewa para pemain negara selepas perlawanan Pestabola Merdeka 2023 Akhir antara Malaysia menentang Tajikistan malam tadi/FOTO BERNAMA)

KUALA LUMPUR, 18 Oktober - Skuad Harimau Malaya terpaksa berputih mata untuk merangkul gelaran Pestabola Merdeka ke-13, selepas tewas di tangan Tajikistan.

Dalam saingan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi menyaksikan Malaysia bolos 0-2 dengan pasukan pelawat.

Tajikistan, pasukan ranking ke-110 dunia, menghampakan Malaysia buat kali kedua selepas final Piala Raja Thai, di Chiang Mai, Thailand, tahun lalu.

Dalam aksi berkenaan, Tajikistan membuka jaringan minit ke-44 melalui rembatan leret Rustam Sairov.

Tersentak dengan jaringan itu, Malaysia hampir merobek gawang lawan, namun tandukan pertahanan kanan, Matthew Davies, berjaya ditepis penjaga gol Tajikistan, Barotov Daler.

Di babak kedua... ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon membuat dua pertukaran; membawa masuk Azam Azmi dan Akhyar Rashid, menggantikan Davies dan Arif Aiman.

Asakan demi asakan, namun tiada jaringan terhasil.

rtm
(Pasukan Tajikistan meraikan kemenangan bersama Piala selepas memenangi Perlawanan 
Pestabola Merdeka 2023 Akhir malam tadi/FOTO BERNAMA)

Sebaliknya, pemain gantian lawan, Samiev Shahrom pula tampil mengesahkan kejuaraan sulung Tajikistan dengan jaringan minit ke-88.

Kejayaan Tajikistan itu meleburkan rekod tanpa kalah tujuh perlawanan Malaysia, yang menghuni ranking ke-134, sejak tewas kali terakhir dalam separuh akhir kedua Piala AFF 2022 di tangan Thailand, 0-3, pada Januari lalu.

Bagi pengendali Tajikistan, Petar Segrt pula, beliau memuji pemainnya yang mempamerkan disiplin tinggi sepanjang perlawanan.

"Tanpa pemain yang bagus dan berdisiplin, pembantu jurulatih, ini bukanlah permainan individu. Kami memiliki pasukan kejurulatihan yang bagus, itu adalah kuncinya. Sebagai pasukan, ini adalah kejayaan yang dikecapi hasil kerjasama berpasukan," katanya selepas perlawanan malam tadi.

Tajikistan menghampakan Malaysia buat kali kedua, kali ini di hadapan hampir 40 ribu penyokong di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Media Baharu