fb fb fb fb fb

Sukan Asia 2026: Arif Afifuddin tekad pertahan emas kumite

atlet karate negara Muhammad Arif Afifuddin Ab Malik dinobatkan sebagai Olahragawan Pulau Pinang 2023/2024 / Foto BERNAMA

GEORGE TOWN, 5 Julai- Meskipun baru selesai menjalani pembedahan kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL), atlet karate negara Muhammad Arif Afifuddin Ab Malik tetap bersemangat untuk mempertahankan pingat emas pada Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun.

Pemenang pingat emas acara kumite bawah 84 kilogram lelaki pada Sukan Asia 2022 di Hangzhou, China itu kini giat menjalani proses pemulihan dan yakin mampu membuat kemunculan semula yang lebih kuat dalam tempoh enam bulan akan datang.

“Saya mengalami kecederaan ACL pada Kejohanan K1 Series A di Salzburg, Austria selepas dijatuhkan pada pusingan pertama awal tahun ini dan sekarang baru habis pembedahan.

“Kini, saya fokus kepada fisioterapi serta rehabilitasi. Insya-Allah, saya akan kembali lebih kuat tahun depan,” katanya yang ditemui pada Majlis Anugerah Sukan Negeri Pulau Pinang 2023/2024 di Amari Food Gallery dekat sini hari ini.

Pada majlis itu, atlet berusia 26 tahun berkenaan dinobatkan sebagai Olahragawan Negeri Pulau Pinang 2023/2024 dan menerima piala serta wang tunai RM4,000, yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kesihatan negeri Daniel Gooi Zi Sen.

Mengulas mengenai pengiktirafan itu, Muhammad Arif Afifuddin menyifatkan anugerah berkenaan sebagai pembakar semangat untuk terus berusaha mencapai kejayaan lebih besar dan berprestij di peringkat antarabangsa.

“Saya tidak pernah menyangka akan terpilih sebagai olahragawan negeri kerana sebelum ini pernah dicalonkan tetapi tidak berjaya. Alhamdulillah tahun ini saya dapat. Saya bersyukur dan berasa sangat gembira,” katanya.

Atlet berketinggian 1.83 meter itu juga menyatakan hasratnya untuk menyambung pengajian di peringkat sarjana dalam bidang perniagaan atau sains sukan pada masa hadapan.

Untuk rekod, Muhammad Arif Afifuddin mencipta sejarah dengan memenangi pingat emas pada Sukan Asia 2022 selepas menewaskan pemenang pingat gangsa Kejohanan Dunia 2021 Daniyar Yuldashev dari Kazakhstan 10-4 pada aksi akhir.-BERNAMA

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD