KITAKYUSHU, 5 Julai-Skuad ragbi Jepun kendalian Eddie Jones bangkit di separuh masa kedua untuk menewaskan Wales 24-19 dalam aksi ujian pertama di Kitakyushu pada Sabtu.
Kemenangan itu sekali gus menjadikan rekod kekalahan Wales kepada 18 perlawanan berturut-turut.
Wales bermula garang dengan tiga try menerusi Ben Thomas, Tom Rogers dan satu penalti meletakkan mereka di depan menjelang rehat.
Namun Jepun kemudian bangkit melalui dua try selepas separuh masa, termasuk satu daripada Halatoa Vailea sembilan minit sebelum tamat.
“Separuh masa pertama memang sukar, tapi DNA kami adalah bermain ragbi berintensiti tinggi,” kata pemain fly-half Jepun, Seungsin Lee, yang turut menyumbang sepakan penalti penting.
Katanya, kemenangan ini memberi suntikan keyakinan besar buat Jepun yang sudah lama tidak menundukkan pasukan dalam kelompok 10 terbaik dunia.
Jepun, yang bermain dalam cuaca lembap dan panas 31 darjah Celsius, turut kehilangan pemain sayap Takuro Matsunaga akibat kecederaan. Penggantinya, Ichigo Nakakusu, mengalami detik sukar apabila memberi penalti try kepada Wales dan dikenakan kad kuning sejurus dimasukkan.
Namun, Nakakusu bangkit menebus kesilapan dengan melakukan try pada minit ke-59 sebelum sepakan penalti Lee dan try kemenangan Vailea memastikan Jepun melakar kemenangan dramatik di laman sendiri.
Wales, yang kali terakhir menang ketika menewaskan Georgia pada Piala Dunia Oktober 2023, kini bergelut dengan prestasi selepas dimalukan England 68-14 pada kempen 'Six Nations' sebelum ini.-AFP.