KUALA LUMPUR, 5 Julai –Lebih 2,000 peserta dari lebih 40 negara dijangka membanjiri ibu negara pada 30 Ogos ini bagi menyertai Sky Race Merdeka 118, acara larian menara pertama yang bakal diadakan di bangunan kedua tertinggi dunia, Merdeka 118.
Lebih membanggakan, acara itu juga diangkat sebagai pentas Asia Oceania Championship 2025, menjadikannya kejohanan bertaraf tinggi pertama dianjurkan di bangunan ikonik yang masih belum siap sepenuhnya.
Jaguh Larian Menara negara, Soh Wai Ching, yang menjadi tumpuan utama perlumbaan itu menyifatkan penganjuran kejohanan di Merdeka 118 sebagai detik bersejarah buat dirinya dan seluruh rakyat Malaysia.
“Bukan senang kita nak mendaki Merdeka 118 ini tanpa pengeoperasian penuh. Bangunan pun belum siap sepenuhnya. Tapi kita ada peluang untuk menganjurkan Kejohanan Larian Menara dengan standard tertinggi tahun ini, Asia Oceania Championship,” kata Wai Ching yang jelas teruja untuk mencipta sejarah di bangunan kedua tertinggi dunia itu.
Menurut Wai Ching, pelari elit antarabangsa termasuk dari Jerman, Mexico dan Amerika Syarikat telah menyatakan minat untuk menyertai kejohanan itu meskipun ia kejohanan peringkat Asia Oceania.
“Walaupun ini kejohanan Asia Oceania, kawan-kawan dari luar rantau pun teruja nak datang. Mereka akan datang awal untuk adaptasi dengan cuaca dan zon masa Malaysia. Mereka tahu tahun depan ia akan jadi Kejohanan Dunia,” katanya.
Perlumbaan mendaki 2,845 anak tangga ke aras tertinggi bangunan itu, tingkat 118, dijangka menjadi pentas pertarungan sengit apabila pelari elit dunia seperti Ryoji Watanabe dari Jepun turut menyertai saingan.
“Tekanan memang ada. Kita tak boleh biarkan orang luar menang. Ini tempat kita. Malaysia kena menang,” tegas Soh.
Wai Ching turut yakin dari aspek penganjuran, acara ini akan berjalan dengan lancar kerana dikendalikan secara profesional oleh pengarah perlumbaan, Jeff Ross bersama pasukan penganjur berpengalaman.
Berdasarkan pengalaman beliau melakukan pemeriksaan keselamatan tangga Merdeka 118 sebelum ini, Wai Ching menjangkakan masa tamat perlumbaan terbaik sekitar 16 hingga 17 minit, bergantung kepada keadaan semasa pada hari kejohanan.