AYER KEROH, 31 Julai- Dana sebanyak RM1 juta diperuntukkan kepada Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA).
Perkara itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap merasmikan penutup Kejuaraan Pencak Dilat Dunia ke -19, 2022 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh.
Beliau berkata, dana itu adalah sebagai tanda menghargai anak-anak silat selain membantu Pesaka mengembangkan seni silat di persada dunia.
"Saya difahamkan terdapat persatuan silat yang menerima pendaftaran lebih 40 pelajar baharu, berbanding hanya empat atau lima orang pelajar dalam tempoh setahun sebelum ini, ini jelas menunjukkan pengaruh silat yang memaparkan semangat juang yang tinggi, pembawaan watak persilatan dan adab orang Melayu memberi impak kepada seluruh Keluarga Malaysia untuk mengenalinya secara mendalam.
"Bagi menghargai sumbangan yang diberikan oleh anak-anak silat serta membantu PESAKA mengembangkan seni silat di persada dunia, pada malam ini dengan sukacitanya saya mengumumkan dana sebanyak RM1 juta kepada PESAKA."
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutup Kejuaraan Pencak Dilat Dunia ke -19, 2022 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh.
Majlis itu turut dihadiri Presiden Persekutuan Pencak Silat Antarabangsa (PERSILAT) yang juga Menteri Pertahanan Indonesia, Datuk Seri Probowo Subianto, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, dan Presiden PESAKA, Datuk Wira Megat Zulkarnain Omardin.
Dalam pada itu katanya, negara berbangga dan berbesar hati apabila diberi peluang menganjurkan pertandingan sukan bertaraf dunia serta berharap lebih banyak lagi acara sukan berprestij seumpama itu dapat dianjurkan.
Jelasnya, penganjuran kali ke-19 ini adalah satu penghormatan besar kepada negara sebagai tuan rumah kepada lebih 40 buah negara yang mengambil bahagian dalam kejuaraan bertaraf dunia itu.
Sementara itu, seni silat disaran menjadi sebahagian daripada gaya hidup masa kini yang terbukti mampu membentuk karakter peribadi dan disiplin kepada pengamalnya.
Perdana Menteri, berkata, seni itu perlu terus dipraktikkan khasnya oleh generasi masa kini supaya ia kekal dimartabatkan serta terus relevan sepanjang masa.
Seni itu juga bukan sekadar untuk mempertahankan diri, tetapi ia juga membentuk keterampilan dan jati diri mereka yang mempelajarinya.
Malah, katanya, ia juga mendidik pengamalnya supaya tidak mudah mengalah dan berjiwa besar, selain sentiasa menyemai dan menyemarakkan semangat perjuangan pejuang silam.
(Perdana Menteri ketika merasmikan penutup Kejuaraan Pencak Dilat Dunia ke -19, 2022
di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh)