fb fb fb fb fb

Kelantan FC terus gah di persada liga, tewaskan Kuching City, 2-0

KOTA BHARU, 31 Julai- Kelantan FC terus gah di puncak Liga Perdana selepas menundukkan Kuching City 2-0 di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu petang tadi.

Dua jaringan masing-masing menerusi Nixon Guylherme di penghujung babak pertama dan Mohamad Ikhwan Yazek minit ke-73 memastikan skuad kendalian Rezal Zambery Yahya kini berkelebihan empat mata mengatasi pencabar terdekat Johor Darul Takzim (JDT) II yang bermain kurang satu perlawanan.

Perlawanan hari ini dibanjiri hampir 9,000 penonton setia The Red Warriors (TRW) memberi sokongan kepada Kelantan bagi merealisasikan misi mesti menang.

Kelantan terlebih dahulu mengatur asakan awal ke kubu Kuching City.

Tuan rumah membuat dua pertukaran awal pada separuh masa pertama dengan memasukkan penyerang, Nixon Guylherme dan pemain tengah, Shahrul Igwan Samsudin bagi memantapkan jentera serangan.

Kemasukan dua pemain itu nyata mengubah rentak permainan tuan rumah, dan mereka tidak menunggu lama apabila pengadil menghadiahkan sepakan penalti yang di sempurnakan Nixon Guylherme masa tambahan babak pertama.

Situasi kecoh seketika akibat rasa tidak puas hati di kem pelawat apabila penyerangnya, Abu Kamara diperintah keluar padang selepas menerima kad kuning kedua susulan provokasi ke atas pengadil.

Bagaimanapun pengadil perlawanan, Muhammad Almi Abdullah berjaya mengawal keadaan dan aksi separuh masa pertama berpihak kepada tuan rumah 1-0.

Bersambung babak kedua, Mohamad Ikhwan Yazek menghukum kealpaan barisan pertahanan Kuching City FC dengan gol kedua pada minit ke-73 selepas berjaya menyudahkan bola umpanan Syed Sobri Syed Mohd dengan satu rembatan lerek menewaskan penjaga gol lawan, Shaiful Wazizi Mohammad.

Kelantan FC terus mengungguli carta Liga Premier musim ini dengan kutipan 29 mata berbanding Kuching City FC ditangga keempat dengan pungutan 12 mata setakat ini.


(Foto FB MFL)

Media Baharu