fb fb fb fb fb

Peruntukan dana buat MGA, jaminan KBS bantu pembangunan sukan golf

KUALA LUMPUR, 30 Mei- Susulan pencapaian atlet golf negara, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedia menghulurkan bantuan kewangan diperlukan Persatuan Golf Malaysia (MGA) bagi pembangunan sukan tersebut.

Itu Janji Menterinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu kepada sukan tersebut.

Jelas beliau, bantuan dana tersebut akan disalurkan dalam masa terdekat, bagaimanapun jumlahnya tidak didedahkan.

"Sememangnya akan ada peruntukan daripada KBS kepada MGA tapi jumlah peruntukan itu saya tidak boleh maklumkan sekarang. Kami juga ada berbincang mengenai penganjuran kejohanan golf di negara ini. Ini amat penting untuk pembangunan sukan golf itu sendiri," katanya.

Dalam pada itu, Faizal turut memaklumkan bahawa KBS akan bekerjasama dengan MGA untuk mewujudkan satu program khas yang merangkumi segala keperluan atlet golf kebangsaan.

"Ini boleh kita bincangkan bagaimana untuk memantapkan lagi tapi nak buat secara lengkap ianya buat masa ini agak sukar kerana untuk golf, ianya berbeza dengan sukan berpasukan lain. Setiap pemain itu ada ekosistem beliau sendiri," ujarnya.

Sukan golf mencipta sensasi pada Sukan SEA 2021 apabila berjaya menamatkan kemarau 21 tahun pingat emas pada temasya tersebut.

Kem golf negara menamatkan kempen di Hanoi dengan dua emas, dua perak dan satu gangsa sekali gus menjadi pencapaian terbaik dalam penyertaan Sukan SEA.


(GAMBAR FAIL)

Media Baharu