fb fb fb fb fb

Henti sikap tuding jari, semua pihak perlu ganding bahu perkasa sukan negara

KUALA LUMPUR, 31 Mei - Tidak perlu tuding jari kepada sesiapa.

Itu tegas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berhubung pencapaian diraih kontinjen Malaysia pada kempen Sukan SEA 2021 di Hanoi, baru-baru ini.

(Ahmad Faizal)

Jelas beliau, semua pihak perlu berganding bahu dalam usaha memperkasakan sukan tanah air.

Menurutnya, pencapaian keseluruhan 39 pingat emas serta tempat keenam di Hanoi mesti diperbaiki, dengan kerja keras supaya Malaysia mampu meraih pencapaian lebih gemilang di masa depan.

"Beliau (Steven) dan saya perlu buat kerja yang lebih baik untuk pastikan sukan lebih baik, bukan berpolitik dalam sukan.

"Kalau kita berpolitik dalam sukan seperti sesetengah persatuan sukan yang berpolitik lebih daripada parti politik, tidak akan maju sukan kita," katanya pada sidang media majlis penghargaan Persatuan Golf Malaysia (MGA) kepada skuad negara yang meraih pingat emas pada Sukan SEA 2021, di sini.

Ahmad Faizal ditanya mengenai hantaran Facebook rasmi bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim yang mengulas kenyataannya mengenai prestasi dan pencapaian kontinjen negara di temasya Sukan SEA ke-31 di Hanoi, Vietnam.

Dalam hantaran pada 22 Mei lepas, Steven mendakwa Ahmad Faizal menyalahkan atlet atas pencapaian keseluruhan kontinjen negara di temasya sukan dwitahunan itu.

Sehubungan itu, Ahmad Faizal berkata kesilapan Steven mentafsir kenyataannya adalah mungkin disebabkan tidak memahami konteks yang hendak dijelaskan berhubung perkara tersebut.

"Saya katakan tidak ada siapa pun rakyat Malaysia gembira untuk berada dalam kedudukan keenam keseluruhan, jika anda tanya atlet kita dapat gangsa, adakah mereka gembira dengan dapat gangsa? Tentunya tidak 100% gembira, mereka telah lakukan yang baik," tambah beliau.

Sementara itu, menyentuh bantuan kepada Persatuan Golf Malaysia (MGA), Ahmad Faizal berkata bantuan tersebut bukan semata-mata kerana kejayaan pasukan kebangsaan dalam Sukan SEA tetapi adalah tanggungjawab pihaknya dalam membantu setiap persatuan sukan menerima bantuan sewajarnya.

Jelas beliau, KBS tidak akan membantu MGA sahaja sebaliknya sukan-sukan lain juga berpotensi mendapat perhatian pihak kementeriannya berikutan berupaya menyumbang pingat dan membangunkan industri sukan.

Media Baharu