fb fb fb fb fb

Persidangan antidoping sukan dunia dibuka dengan seruan perpaduan

Presiden Agensi Anti Doping Dunia (WADA), Witold Banka/ AFP

SEOUL, 2 Disember – Presiden Agensi Anti Doping Dunia (WADA), Witold Banka pada Selasa menyeru perpaduan dalam usaha menentang penggunaan bahan terlarang dalam sukan, susulan ketegangan dengan Amerika Syarikat (AS).

“Perpaduan ini telah diuji,” kata Banka ketika berucap pada majlis perasmian Persidangan Dunia Anti Doping Sukan keenam WADA, yang berlangsung minggu ini di Busan, Korea Selatan.

Beliau menegaskan beberapa pihak baru-baru ini memilih konfrontasi berbanding kerjasama, seolah-olah negara atau institusi mereka lebih tinggi daripada yang lain dan hanya mereka bertindak dengan integriti.

Ucapan Banka disampaikan kepada hadirin termasuk Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Kirsty Coventry, lebih setahun selepas siasatan dalaman menolak dakwaan WADA berat sebelah terhadap China.

Agensi itu pernah terpalit kontroversi melibatkan 23 perenang China yang dibebaskan daripada dakwaan doping setelah ujian menunjukkan positif terhadap ubat jantung terlarang pada 2021.

Pihak berkuasa China mendakwa atlet terbabit terdedah kepada ubat itu melalui makanan yang tercemar di hotel, dan WADA tidak menjalankan siasatan bebas, menimbulkan ketegangan terutama dengan Amerika Syarikat dan agensi anti dopingnya, USADA.

Susulan keputusan WADA itu, kerajaan AS menarik balik pembiayaan sebanyak AS$3.6 juta dan perwakilan AS dikeluarkan daripada jawatankuasa eksekutif WADA.

Banka, yang memegang jawatan presiden sejak Januari 2020, tidak menyebut sebarang negara secara khusus dalam ucapannya.

“Bagi mereka yang beranggapan sistem mereka lebih baik dan mengharapkan dunia mengikuti agenda peribadi, kami berkata dengan tegas tetapi penuh hormat: tidak. Anti-doping bukan hak satu negara atau individu sahaja,” tegas beliau.

“Marilah kita berdiri bersama, tidak dibahagi oleh sempadan atau ideologi, tetapi disatukan oleh tanggungjawab,” tambahnya. - AFP

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN