fb fb fb fb fb

Slot sahkan Salah tidak gembira diketepikan, namun puji profesionalisme

Pengurus Liverpool, Arne Slot/ AFP

LIVERPOOL, 2 Disember – Pengurus Liverpool, Arne Slot mengakui bintang Mesir, Mohamed Salah berasa kecewa selepas diketepikan daripada kesebelasan utama dalam kemenangan penting 2-0 menentang West Ham pada Ahad, namun memuji sikap profesional pemain itu.

Salah, yang digelar 'superhuman' oleh Slot, hanya duduk di bangku simpanan ketika Liverpool melakukan perubahan susulan prestasi buruk dengan sembilan kekalahan daripada 12 perlawanan terakhir dalam semua kejohanan.

Slot berkata meskipun Salah tidak berada pada tahap terbaik kebelakangan ini, sumbangannya kepada kelab selama bertahun-tahun adalah tidak ternilai.

“Setiap pemain ada fasa di mana mereka ‘manusia biasa’. Tetapi Salah telah menjaringkan begitu banyak gol untuk kami dan saya yakin beliau akan terus berbuat demikian pada masa hadapan,” kata Slot.

Slot menambah bahawa reaksi Salah adalah normal bagi pemain yang berkualiti tinggi dan menekankan bahawa pemain itu tetap menyokong rakan sepasukannya.

“Anda tidak boleh bermain pada tahap tinggi setiap tiga hari jika membiarkan emosi menguasai. Tetapi Salah sangat berdisiplin dan tahu apa yang perlu dilakukan untuk kekal cergas,” katanya.

Salah dijadualkan menyertai Piala Negara-Negara Afrika bermula 15 Disember dan Slot menegaskan bahawa rundingan sentiasa dilakukan untuk memastikan keputusan terbaik bagi pemain, kelab, dan negara. -AFP

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN