KUALA LUMPUR, 6 Februari - Sesi jelajah pra-musim 2023 di Antalya, Turkiye bakal jadi medan menilai kesebelasan utama skuad Kedah Darul Aman (KDA FC)
Pengendalinya, Mohd Nafuzi Zain berkata, ini adalah peluang buat semua pemain membuktikan kemampuan masing-masing sebelum pemilihan muktamad dibuat.
Sesi latihan di Turkiye merupakan persiapan terakhir skuad Kenari sebelum menghadapi musim baharu Liga Malaysia hujung bulan ini.
Dalam masa sama menurut Nafuzi, beliau amat berpuas hati dengan komitmen pasukannya selepas menunjukkan peningkatan dalam latihan dan aksi persahabatan sebelum ini.
Pengendali berusia 44 tahun itu juga berkata, peluang beraksi menentang kelab-kelab dari Uzbekistan, Kazakhstan dan Ukraine di Turkiye ini akan memberi pengalaman berguna buat skuad yang baru dibentuknya.
Ini kerana mereka akan berhadapan dengan corak serta mutu permainan yang berbeza dan ia akan membantu mematangkan para pemain.
Kedah akan memulakan saingan Liga Super bertemu Perak FC pada 25 Februari ini.