KUALA LUMPUR, 6 Februari - Kejadian gempa bumi kuat berukuran 7.8 Magnitud yang melanda selatan Turkiye, awal pagi tadi tidak akan menjejaskan aksi jelajah pra-musim Pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) di Antalya, Turkiye.
Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Khamal Idris Ali dalam satu kenyataan berkata, gempa bumi itu berlaku di zon berbeza dan tidak mengganggu jadual pasukan sepanjang 10 hari berada di negara itu.
Tambah beliau, isu keselamatan pasukan tetap keutamaan pihaknya ditahap tertinggi dengan latihan pramusim akan diteruskan seperti dirancang sebelum ini.
"Kejadian gempa bumi di Turki adalah di zon yang berbeza dan tidak mengakibatkan jadual pasukan terjejas
"Pihak pengurusan bersyukur dan mendoakan semuanya dalam lindungan Ilahi dan mangsa terlibat dengan kejadian tersebut selamat dan dipermudahkan semua urusan.
"Terima kasih dari kami di bumi Turki, teruskan sokongan, doa semuanya selamat dan ikuti perkembangan semasa pasukan Sang Kenari di saluran rasmi kelab," katanya di laman Facebook rasmi pasukan hari ini.
KDA FC akan menentang empat kelab dari Uzbekistan, Kazakhstan dan Ukraine di Limak Arcadia Sports Center.
(Pasukan Liga Super KDA FC sebelum berlepas ke Turkiye/FOTO Facebook KDA FC)