WARSAW, 11 Jun- Jaringan Nicola Zalewski pada minit ke-90 perlawanan menjamin kemenangan 2-1 ke atas Turkiye pada perlawanan pemanas badan sebelum bermulanya Euro 2024 minggu depan.
Namun, skuad Poland kini berada dalam kebimbangan susulan kecederaan yang dialami oleh Karol Swiderski dan Robert Lewandowski.
Pada perlawanan berkenaan, Poland membuka jaringan pada minit ke-12 menerusi Karol Swiderski selepas merembat kencang melepasi penjaga gol Turkiye,Mert Gunok.
Namun, malang menimpa Swiderski apabila dia mengalami kecederaan pergelangan kaki sejurus meraikan kejayaan menjaringkan gol pertama tersebut.
Kecederaan itu memaksa pengurus Poland, Michal Probierz menggantikannya pada babak pertama.
"Swiderski mengalami kecederaan pergelangan kaki, namun terdapat beberapa ujian yang perlu dilakukan bagi melihat situasi seterusnya", kata Probierz.
Turkiye kemudian bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-77 menyaksikan dua pemain gantian iaitu Kenan Yildiz dan Baris Alper Yilmaz menjadi watak disebalik gol penyamaan.
Kedua-dua pasukan berpeluang untuk menambah jaringan sehinggalah minit akhir perlawanan, apabila Nicola Zalewski menjadi wira pasukan dengan gol kemenangan sekali gus melebarkan rekod kemenangan Poland kepada lima perlawanan berturut-turut.
Poland sebelum ini telah kehilangan penyerang Juventus, Arkadiusz Milik yang mengalami kecederaan pada perlawanan persahabatan menentang Ukraine, Jumaat lalu dan menyebabkannya tersisih daripada Euro.
Kecederaan terbaharu yang dialami Siwederski merupakan tamparan buat pengurus Poland,Michal Probierz menjelang perlawanan pembukaan Kumpulan H menetang Belanda 16 Jun ini.-REUTERS