fb fb fb fb fb

Perlis persiap atlet e-sukan hadapi SUKMA 2026

Presiden Persatuan Sukan Elektronik Perlis, Muhammad Issya Md Salleh berkata, senarai pemain e-sukan negeri itu di SUKMA 2026 akan diserahkan kepada MSN hujung tahun ini.

PAUH, 4 Oktober – Perlis giat melaksanakan pencarian bakat baharu untuk mewakili negeri itu dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, khususnya bagi acara sukan elektronik (E-Sukan).

Presiden Persatuan Sukan Elektronik Perlis, Muhammad Issya Md Salleh berkata, pelbagai kejohanan dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan negeri sebagai usaha mencungkil pemain pelapis.

Ini termasuk Kejohanan E-Sukan Terbuka Perlis 2025 yang mendapat sambutan menggalakkan.

“Setakat ini, lebih 500 peserta mewakili 160 pasukan menyertai Kejohanan E-Sukan Terbuka Perlis 2025 yang mempertandingkan tiga kategori iaitu Mobile Legends Bang Bang, PUBG Mobile dan E-Football Mobile.”

"Senarai panjang pemain baharu akan dihantar kepada Majlis Sukan Negara (MSN) menjelang hujung tahun ini sebagai persediaan awal menjelang SUKMA tahun depan," katanya selepas merasmikan kejohanan berkenaan di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, di sini, hari ini.

Menurutnya, perkembangan e-sukan ketika ini semakin pesat bukan sahaja di peringkat agensi malah turut melibatkan sekolah di negeri itu, sekali gus menjanjikan prospek cerah buat atlet muda.

TUAN MOHAMAD IKRAM BIN TUAN MUHAMAD