fb fb fb fb fb

1,076 atlet dari 81 negara sertai WKF Karate 1 Series A

Majlis perasmian kejohanan berprestij itu disempurnakan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir

KUALA LUMPUR, 4 Oktober - Seramai 1,076 atlet dari 81 negara menyertai Kejohanan World Karate Federation (WKF) Karate 1 Series A yang berlangsung di Arena N9, Nilai, Negeri Sembilan, bermula semalam hingga 5 Oktober ini.

Majlis perasmian kejohanan berprestij itu disempurnakan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, hari ini.

Kejohanan dianjurkan oleh Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) dengan kerjasama World Karate Federation (WKF).

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang juga Naib Presiden Majlis Olimpik Asia (OCA) Zon Asia Tenggara, Tan Sri Dr. Mohamad Norza Zakaria, merakamkan penghargaan kepada MAKAF atas dedikasi serta komitmen berterusan memajukan sukan karate di peringkat tempatan dan antarabangsa.

“Penganjuran WKF Karate 1 Series A di Malaysia membuktikan sumbangan cemerlang MAKAF dalam pembangunan sukan karate, hasil kepimpinan berwawasan Presidennya, Datuk Wira Dr. Nur Azmi Ahmad,” katanya dalam kenyataan yang diwakili Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nasir Ali.

Turut hadir pada majlis perasmian ialah Presiden WKF, Antonio Espinós, Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam, yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif WKF dan Naib Presiden Ketiga Persekutuan Karate Asia (AKF).

Hadir sama Naib Presiden MOM, Nurul Huda Abdullah OLY, Presiden Persatuan Tenis Malaysia (LTAM), Mirzan Mahathir, Presiden Persatuan Bola Jaring Malaysia (MNA), Alwiyah Talib dan Presiden Persatuan Sofbol Malaysia (SAM), Willeam Mah Choon How.

GRACE AISYAH KEDAYAN