fb fb fb fb fb

Perlawanan Piala Sumbangsih dibatalkan, JDT raih tiga mata - MFL

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 9 Mei- Perlawanan Piala Sumbangsih pada musim ini, dibatalkan.

Perkara tersebut disahkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) selepas Selangor FC membuat keputusan untuk tidak hadir ke perlawanan yang sepatutnya berlangsung esok di Stadium Sultan Ibrahim.

Menurut MFL dalam kenyataan hari ini, keputusan Red Giants dimaklumkan dalam satu surat rasmi sekali gus menyaksikan skuad Johor Darul Ta'zim (JDT) diberikan kemenangan ‘walkover’ dengan jaringan 3-0.

JDT turut memperoleh tiga mata bagi saingan liga oleh MFL memandangkan perlawanan Sumbangsih menyumbang kepada kutipan mata bagi saingan Liga Super musim ini.

Dalam pada itu, perkara-perkara lain berhubung penarikan diri Selangor FC akan dibawa ke peringkat Ahli Lembaga Pengarah MFL untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi perkenan dan menyokong penuh keputusan Selangor FC untuk tidak hadir ke perlawanan Piala Sumbangsih 2024.

Titah baginda, keutamaan ketika ini adalah nyawa serta keselamatan pemain dan bukannya untuk memenangi piala berkenaan.

Menerusi hantaran di Facebook Selangor Royal Office, Baginda bagaimanapun menzahirkan rasa kecewa kerana pihak MFL menolak permohonan Selangor FC untuk menangguhkan perlawanan itu.

Dalam masa sama, Sultan Sharafuddin menyeru semua pihak memahami bahawa tahap keseriusan insiden yang melibatkan nyawa pemain sebegini adalah tidak sama dengan kes-kes sebelum ini, apatah lagi ia berlaku sangat hampir dengan tarikh perlawanan.

Baginda turut menegaskan, Selangor FC sedia berdepan dengan apa sahaja tindakan, susulan keputusan untuk tidak hadir ke perlawanan berkenaan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM