PARIS, 26 Ogos – Bekas pemandu Red Bull, Sergio Perez, dan Valtteri Bottas akan memandu untuk pasukan baharu Formula 1 (F1), Cadillac, musim depan, umum pasukan itu pada Selasa.
Kedua-dua pelumba berusia 35 tahun itu akan kembali ke litar pada 2026 bersama pasukan Amerika Syarikat yang akan menjadi pasukan ke-11 dalam kejuaraan F1 selepas diketepikan pada musim ini.
Perez, pemenang enam perlumbaan Grand Prix, dilepaskan Red Bull pada akhir musim lalu meskipun masih mempunyai baki kontrak selama dua tahun bersama rakan sepasukan, Max Verstappen.
Bottas pula pernah meraih 10 kemenangan ketika bersama Mercedes bergandingan dengan Lewis Hamilton. Pelumba Finland itu beraksi untuk Sauber pada 2024 dan musim ini bertindak sebagai pemandu simpanan Mercedes.
Cadillac memilih dua pelumba berpengalaman ini untuk membantu mereka memulakan saingan dengan langkah kanan.
Presiden syarikat induk Cadillac, GM, Mark Reuss berkata, keputusan memilih Perez dan Bottas dibuat berdasarkan pengalaman mereka dalam mencatat kemenangan serta podium di F1.
Beliau menyifatkan gandingan itu sebagai 'kombinasi kemenangan yang sangat baik'.
Ketua Pegawai Eksekutif TWG Global, rakan kongsi GM, Dan Towriss, berkata pengalaman, kepimpinan dan kemahiran teknikal kedua-dua pelumba merupakan faktor utama.
"Kami berbesar hati dengan keyakinan mereka terhadap kami dan projek ini. Terdapat ramai pelumba muda berbakat, jadi ia bukan keputusan mudah. Namun, kepimpinan dua pelumba ini benar-benar menonjol," katanya.
Perez menyifatkan peluang tersebut sebagai satu penghormatan.
"Cadillac adalah nama legenda dalam sukan permotoran Amerika, dan membantu membawa syarikat hebat ini ke F1 adalah tanggungjawab besar yang saya yakin mampu dipikul," kata pelumba Mexico itu dalam kenyataan pasukan.
Bottas turut meluahkan keterujaannya terhadap cabaran baharu ini.
"Ini bukan sekadar projek perlumbaan; ia adalah visi jangka panjang. Tidak selalu kita mendapat peluang untuk menjadi sebahagian daripada sesuatu yang dibina dari awal dan membentuknya menjadi sesuatu yang benar-benar layak berada pada F1," katanya.- AFP