fb fb fb fb fb

Bayern Munich belum sahkan perpindahan Jackson

Christoph Freund/ REUTERS

MUNICH, 26 Ogos – Bayern Munich enggan mengulas lanjut mengenai teka-teki kemungkinan menandatangani penyerang Chelsea, Nicolas Jackson, selepas spekulasi mengenai perpindahan pemain Senegal itu semakin hangat diperkatakan.

Pengarah Sukan Bayern, Christoph Freund, hanya memberi kenyataan ringkas dalam sidang media pada Selasa.

"Saya tidak menafikan apa-apa… jendela perpindahan masih dibuka hingga Isnin depan, dan ya, apa sahaja boleh berlaku," katanya ringkas.

Bagaimanapun, tiada maklumat lanjut atau pengesahan diberikan. Pemain berusia 24 tahun itu turut dikaitkan dengan beberapa kelab lain. Jendela perpindahan Liga Perdana Inggeris akan ditutup pada 1 September.

Bayern kini sedang membuat persiapan menghadapi perlawanan Piala DFB menentang Wehen Wiesbaden, selepas memulakan musim baharu Bundesliga dengan kemenangan besar 6-0 ke atas RB Leipzig pada Jumaat lalu.

Sebagai juara liga 12 kali dalam 13 musim terakhir, Bayern merupakan kelab paling banyak berbelanja pada jendela perpindahan kali ini apabila membawa masuk Luis Diaz dari Liverpool dengan nilai dilaporkan €70 juta (RM360 juta) – perpindahan ketiga termahal dalam sejarah kelab itu – selain mendapatkan Jonathan Tah dan Tom Bischof untuk memperkuatkan skuad.

Bagaimanapun, persiapan pramusim mereka agak singkat kerana penyertaan dalam Piala Dunia Kelab di Amerika Syarikat yang berlangsung sehingga Julai, sama seperti Borussia Dortmund.

Bayern tetap berjaya meraih trofi pertama musim ini apabila menewaskan VfB Stuttgart 2-1 dalam aksi Piala Super Jerman pada 15 Ogos, meskipun beberapa pemain mengalami kecederaan.

Jurulatih Bayern, Vincent Kompany, menegaskan skuadnya berada dalam motivasi tinggi untuk mengharungi musim baharu.

"Kami perlu pastikan semua pemain kekal cergas. Kami tidak mampu melakukan perkara yang terlalu berisiko," katanya.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI