PARIS, 26 Ogos – Sensasi remaja Jepun, Tomoka Miyazaki, memulakan penampilan sulungnya pada Kejohanan Badminton Dunia (BWF) 2025 dengan kemenangan, namun mengakui rasa gementar dan 'tabiat buruk' hampir menjejaskan prestasinya pada Selasa.
Pemain berusia 19 tahun itu dilabel sebagai bintang masa depan badminton Jepun menghuni kelompok 10 terbaik dunia, selain pernah menjuarai Kejohanan Dunia Remaja tiga tahun lalu di Sepanyol.
Dengan jangkaan tinggi mengiringinya, pemain pilihan kelapan itu berjaya mengekalkan fokus untuk mencatat kemenangan 2-1 ke atas wakil Turkiye, Neslihan Arin, pada pusingan pertama selepas bangkit daripada kekalahan set pertama.
"Pada set pertama saya bergelut kerana kawalan pukulan tidak menjadi. Lawan saya tinggi dan sukar untuk mengawal arah pukulan, jadi saya cuba memaksa permainan, saya rasa tidak bergerak lancar dan gagal berfikir dengan jelas, ia benar-benar satu set yang sukar.
"Dalam set penentuan saya mendahului tetapi dia berjaya menyamakan kedudukan. Saya dapat rasakan jantung saya berdegup kencang ketika cuba mengekalkan kelebihan," katanya.
Miyazaki mengakui tekanan perlawanan dan prestasi terbarunya memberi kesan terhadap keyakinan sebelum beraksi di Paris.
"Saya tidak rasa gementar semata-mata kerana ini kejohanan dunia, tetapi saya memang berasa cemas selepas beberapa perlawanan sebelum ini. Tabiat buruk saya kebelakangan ini ialah lupa perkara penting bila permainan tidak menjadi, jadi saya cuba elakkan kesilapan sama. Hari ini saya berjaya mengubah rentak untuk menang set kedua," jelasnya.
Menurut Miyazaki, kemenangan pada aksi sulung itu memberi keyakinan untuk perlawanan seterusnya.
"Membawa rasa cemas, kemenangan hari ini sedikit melegakan. Esok saya mahu bermain dengan mentaliti positif. Ada ketika saya bermain baik, ada masa tidak. Jadi walaupun menang, saya belum cukup yakin," katanya.
Miyazaki menegaskan tumpuannya adalah mengambil satu perlawanan pada satu masa tanpa meletakkan sasaran pingat.
"Saya tidak ada sasaran khusus, tetapi saya mahu beri yang terbaik dalam setiap perlawanan dan lakukan sehabis baik," katanya.- AFP