fb fb fb fb fb

Anna Bondar atasi Svitolina, mara ke pusingan kedua

Anna Bondar/ BERNAMA

NEW YORK, 26 Ogos – Pemain Hungary, Anna Bondar, yang menghuni ranking ke-97 dunia, mencipta kejutan apabila menyingkirkan pilihan ke-12, Elina Svitolina, 6-2, 6-4 pada pusingan pertama Terbuka Amerika Syarikat, pada Isnin.

Svitolina, yang kembali ke gelanggang setahun selepas melahirkan anak pada 2022, sebelum ini menunjukkan peningkatan konsisten dalam ranking dunia.

Pemain Ukraine itu meraih gelaran WTA 250 di Rouen, Perancis, serta mara ke suku akhir Terbuka Perancis sebelum tewas kepada Iga Swiatek.

Bagaimanapun, prestasinya merudum di permukaan keras selepas tewas di suku akhir kepada Naomi Osaka di Montreal dan tersingkir pada pusingan pertama menentang Barbora Krejcikova di Cincinnati.

Dalam aksi menentang Bondar, Svitolina bergelut dengan 41 kesilapan tidak paksa dan lapan kali kesilapan servis berganda.

Bondar menyelamatkan lima mata break pada permainan keempat sebelum mematahkan servis lawan pada permainan kelima dan ketujuh untuk memenangi set pertama. Svitolina sekali lagi kehilangan servis pada awal set kedua sehingga ketinggalan 1-5.

Pemain Ukraine itu sempat memenangi tiga permainan berturut-turut, namun Bondar menutup perlawanan dengan empat mata terakhir untuk memastikan kemenangan mengejut.

Bondar memenangi 13 daripada 18 mata di jaring serta menyempurnakan empat daripada sembilan peluang break, manakala Svitolina hanya berjaya memanfaatkan satu daripada sembilan peluang yang dimilikinya.

Bondar bakal berdepan pemain Greece, Maria Sakkari, pada pusingan kedua.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI