SEPANG, 26 Ogos - Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) meletakkan sasaran awal tiga pingat emas pada temasya Deaflympics di Tokyo, Jepun, November depan.
Presidennya Dr Ong Shin Ruenn berkata, sasaran itu realistik berdasarkan prestasi cemerlang kontinjen negara yang muncul juara keseluruhan pada Sukan Asia Tenggara (SEA) Pekak 2025 yang berakhir di Jakarta, semalam.
"Pada Deaflympics edisi lalu kita raih dua emas menerusi badminton dan boling. Kali ini kita mahu tambah satu lagi, mungkin daripada acara olahraga," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejurus ketibaan kontinjen negara dari Jakarta.
Untuk rekod, Malaysia mengungguli saingan SEA Pekak dengan 25 emas, 16 perak dan 11 gangsa, termasuk 10 emas dalam olahraga, lapan boling, lima catur serta dua daripada badminton.
"Untuk 25 emas ini sangat terkejut. Tetapi kita memang buat latihan pusat hampir setahun. Selain itu,bajet kewangan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini membantu meningkatkan prestasi atlet dalam persiapan Deaflympics di Tokyo," katanya lagi.
Dalam pada itu beliau berkata kontinjen negara memberi tumpuan kepada persiapan rapi menjelang temasya di Tokyo, selain kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan Jepun bagi melancarkan urusan kontinjen sepanjang kejohanan berlangsung.