fb fb fb fb fb

Alcaraz tampil bergaya, jinakkan Opelka

Carlos Alcaraz / REUTERS

NEW YORK, 26 Ogos – Carlos Alcaraz tampil cemerlang apabila menundukkan Reilly Opelka 6-4, 7-5, 6-4 untuk mara ke pusingan kedua pada Terbuka Amerika Syarikat,

Pilihan kedua kejohanan itu memulakan misi memburu gelaran Grand Slam kedua tahun ini dengan langkah meyakinkan.

"Saya perlu tanya orang ramai sama ada mereka suka gaya rambut baharu ini atau tidak. Anda suka? Saya rasa mereka suka," kata Alcaraz di gelanggang ketika ditanya sama ada potongan baharu itu membuatkannya bergerak lebih pantas.

"Pukulan balas antara yang terbaik hari ini. Saya cuba bermain dengan prestasi terbaik, kekal fokus ketika servis, dan secara keseluruhan saya beraksi dengan sangat baik," tambahnya.

Pemain berusia 22 tahun itu, pernah memenangi gelaran Grand Slam pertamanya di New York tiga tahun lalu. Alcaraz tampak berada pada prestasi juara apabila mematahkan servis lawan untuk mendahului 3-2 sebelum menutup set pertama dengan mudah.

Alcaraz sedikit goyah dalam servis pada set kedua selepas melakukan dua kesilapan berturut-turut, namun Opelka gagal memanfaatkan dua peluang mata break.

Selepas mematahkan servis lawan pada permainan ke-11, Alcaraz mengekalkan rentak untuk mendahului dua set. Dalam set ketiga, pemain Sepanyol itu sekali lagi mematahkan servis Opelka pada permainan kesembilan selepas lawan melakukan kesalahan pijakan dan servis tersasar.

Alcaraz menutup perlawanan dengan kemenangan bersih dan akan berdepan pemain Itali, Mattia Bellucci, di pusingan kedua selepas lawannya dari China, Shang Juncheng, menarik diri daripada perlawanan lebih awal.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI