fb fb fb fb fb

Perenang Britain sertai Enhanced Games, acara kontroversi benarkan doping

Pemenang pingat perak Olimpik, Ben Proud / FOTO IG benproudswim

LONDON, 11 September - Pemenang pingat perak Olimpik, Ben Proud mengumumkan penyertaannya dalam Enhanced Games, sebuah kejohanan kontroversi yang membenarkan atlet menggunakan bahan terlarang bagi meningkatkan prestasi.

Proud, 30, menjadi atlet Britain pertama menyertai acara berkenaan dan membuat pengumuman melalui Instagram pada Rabu, walaupun menerima banyak reaksi negatif.

Proud sebelum ini meraih pingat perak acara renang 50 meter gaya bebas di Sukan Olimpik Paris, iaitu pingat pertamanya di pentas Olimpik.

Dalam wawancara bersama BBC, Proud menegaskan beliau melihat sukan tradisional dan Enhanced Games sebagai “dua entiti berasingan” serta tidak menganggap penyertaannya itu menjejaskan usaha memerangi doping.

Enhanced Games dijadual membuka tirai sulung di Las Vegas pada Mei 2026 dengan acara renang, olahraga dan angkat berat menjadi tumpuan, meskipun mendapat bantahan badan antidoping antarabangsa.

Pada Jun lalu, World Aquatics meluluskan satu peraturan baharu yang melarang mana-mana atlet atau pegawai yang menyokong penggunaan doping daripada menyertai kejohanan mereka, sekali gus menjadikan penyertaan dalam Enhanced Games sebagai langkah sehala.- REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE