SYDNEY, 11 September - Kapten pasukan Piala Davis Australia, Lleyton Hewitt digantung dua minggu serta dikenakan denda A$30,000 selepas didapati bersalah menolak seorang pegawai kawalan doping, menurut Agensi Integriti Tenis Antarabangsa (ITIA).
Hewitt sebelum ini dituduh melakukan salah laku terhadap seorang pegawai kawalan doping berusia 60 tahun selepas kekalahan separuh akhir menentang Itali pada November lalu.
Beliau bagaimanapun menafikan tuduhan itu dengan alasan bertindak mempertahankan diri, namun tribunal bebas mengekalkan keputusan bahawa tindakannya tidak munasabah serta tidak memenuhi keperluan sebagai tindakan mempertahankan diri.
Penggantungan bermula 24 September hingga 7 Oktober itu menghalang Hewitt daripada terlibat dalam semua aktiviti berkaitan tenis termasuk kejurulatihan, bimbingan, permainan, tanggungjawab kapten dan lain-lain.
Bagaimanapun, tribunal memutuskan tarikh penggantungan tidak menjejaskan jadual Australia menentang Belgium dalam pusingan kelayakan kedua di Sydney pada 13 dan 14 September, bagi mengelakkan hukuman yang terlalu berat kepada Hewitt.
Hewitt, bekas juara Wimbledon dan Terbuka Amerika Syarikat, masih berpeluang mengemukakan rayuan namun sehingga kini tiada permohonan rasmi difailkan.-REUTERS
