KUCHING, 17 Ogos - Sukma 2024 membuka tirainya secara rasmi, hari ini dengan Stadium Sarawak bermandi cahaya sewaktu upacara perasmian yang menyaksikan Sarawak menjadi tuan rumah buat kali ketiga.
Berkonsepkan Matlamat Perpaduan Membara, upacara itu memperlihatkan semangat perpaduan digambarkan menerusi gabungan pancaran laser yang memukau ribuan hadirin di Stadium Sarawak.
Upacara pembukaan disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Kemuncak acara pastinya tertumpu kepada penyalaan obor Sukma 2024 sebagai simbolik sukan sebagai landasan perpaduan masyarakat.
Esok, sebanyak 35 pingat emas akan menjadi rebutan atlet yang bertanding dengan pingat terbanyak ditawarkan di gelanggang karate di Miri.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh ketika berucap pada majlis perasmian mengakui Sukan Malaysia (Sukma) merupakan platform penting untuk menyediakan atlet elit negara beraksi di Sukan Olimpik.
Beliau berkata, seorang atlet Olimpik tidak muncul begitu sahaja dan prestasi mereka adalah hasil usaha selama bertahun lamanya.