fb fb fb fb fb

Perancis tampil garang tewaskan Australia, 4-1

FOTO AFP

DOHA, 23 November- Skuad Les Blues tampil garang menewaskan Australia, 4-1 dalam aksi pertama Piala Dunia Qatar 2022.

Kemenangan itu juga turut menyaksikan penyerang Perancis, Olivier Giroud berjaya menyamai rekod legenda Perancis, Thierry Henry yang meledak 51 gol dalam karier antarabangsa.

Giroud berjaya menjaringkan dua gol dalam perlawanan tersebut untuk membantu pasukan mengutip tiga mata sekali gus menjadi pendahulu dalam Kumpulan D.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Al Janoub menyaksikan Australia terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-8 menerusi Craig Goodwin.

Bagaimanapun, Perancis tidak membenarkan situasi itu kekal lama selepas hantaran lintang Theo Hernandez disudahkan Adrien Rabiot dengan gol tanduk.

Lima minit kemudian, Perancis menambah jaringan kedua menerusi pemain tertua Les Blues, Giroud gara-gara kesilapan pemain Australia yang gagal menampan baik bola ketika menyerang.

Babak kedua perlawanan terus menyaksikan Perancis terus mendominasi penguasaan bola.

Ketika pemain Australia cuba untuk bangkit, bintang PSG, Kylian Mbappe menghukum mereka dengan jaringan ketiga.

Giroud yang terus memanfaatkan peluang bermain selepas rakan penyerangnya, Karim Benzema diketepikan akibat kecederaan apabila berjaya menggandakan jaringan keduanya untuk menoktahkan kemenangan mutlak pasukan kendalian, Didier Deschamps itu.

"Ia bukan sesuatu yang membebankan dirinya. Apa yang lebih penting adalah apa yang dilakukannya di atas padang. Dia aset yang penting untuk kami.

"Dia sangat berguna dalam cara dia berhubung dengan semua pemain lain di bahagian serangan dan pasukan," kata jurulatih Perancis Didier Deschamps.

Perancis selepas ini dijadualkan bertemu Denmark pada 27 November untuk aksi kedua di Stadium 974.-AFP


(Bintang PSG, Kylian Mbappe turut menjaringkan gol menentang Australia/AFP)

 

Media Baharu