fb fb fb fb fb

Cristiano Ronaldo sah tinggalkan Manchester United

FOTO AFP

LONDON, 23 November - Cristiano Ronaldo sah meninggalkan Manchester United berkuat kuasa serta merta.

Ia selepas mendapat persetujuan kelab terkemuka Liga Perdana Inggeris yang dipercayai susulan temu bualnya baharu-baharu ini yang sempat menimbulkan kontroversi.

Kapten Portugal itu mengkritik bekas rakan sepasukan termasuk pengurus kelab, Erik ten Hag kerana merasakan dirinya dikhianati.

Meski mengakui masih menyayangi kelab yang telah menjulang namanya sebelum ini, ujarnya keputusan tersebut perlu diambil demi masa depan kerjayanya.

Ronaldo, 37, menyertai semula Manchester United Ogos lalu, dengan kontrak bernilai 500,000 pound bersamaan RM2.7 juta seminggu.

Namun keserasian bermain di bawah pengendali asal Belanda, Erik ten Hag kian menekan setelah Ronaldo lebih kerap memanaskan bangku simpanan berbanding beraksi di padang.

Sementara itu, desas-desus hasrat pemilik kelab Manchester United untuk menjual kelab gergasi Liga Perdana Inggeris itu kian bertiup kencang susulan keputusan Old Trafford melepaskan Ronaldo.

Dalam satu kenyataan oleh Lembaga Pengarah, kelab sedang membuat pertimbangan terhadap semua alternatif strategik, termasuk pelaburan baharu ke dalam kelab, penjualan atau transaksi lain yang membabitkan syarikat.

Sejak Glazer yang berasal dari Amerika Syarikat memiliki kelab itu, prestasi MU merudum mengakibatkan peminat memprotes hampir sepanjang masa.

United tidak memenangi kejuaraan EPL sejak 2013 pada tahun terakhir Alex Ferguson sebagai pengurus.

Lima pengurus datang dan pergi di Old Trafford dalam tempoh sembilan tahun namun gagal menghampiri kejayaan Ferguson.-AFP


(FOTO AFP)

Media Baharu