fb fb fb fb fb

Perak FC tewas kepada Kuching City FC, 1-2

Yusri Che Lah

IPOH, 31 Julai- Perak FC masih gagal memecah badi kekalahan di laman sendiri selepas tewas kepada Kuching City FC pada aksi Liga Super malam tadi.

Perlawanan yang mula lewat sejam akibat hujan lebat, berakhir dengan keputusan 1-2.

Perak FC terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ketujuh menerusi ketua pasukan Wan Zack Haikal selepas menerima hantaran Luka Milunovic.

Keadaan padang yang licin dan basah menyebabkan pergerakan kedua-dua pasukan agak terbatas

Bersambung babak kedua, pasukan pelawat menggandakan asakan dan memperkemas serangan.

Usaha itu berhasil apabila mereka memperoleh jaringan penyamaan menerusi tandukan Jordan Mintah pada minit ke-68.

Selang sembilan minit kemudian, Tchetche Kipre menambah derita tuan rumah.

Sepakan lambung pemain import Kuching City FC  menewaskan penjaga gol Ramdhan Abdul Hamid mengesahkan kemenangan The Cats.

Sementara itu, Pengendali Perak FC Yusri Che Lah mengakui kealpaan pasukan menghukum mereka untuk meraih tiga mata penuh.

"Malam ini kealpaan terutama separuh masa kedua bukan yang kita amat-amat harapkan. Semuanya berubah dan kerisauan saya menjadi kenyataan apabila melihat Petrus Shitembi masuk, akan ada rombakan permainan.

"...dari segi pasukan Kuching City FC mereka baik untuk separuh masa kedua," katanya kepada pemberita di sini.

Bagi Jurulatih Kuching City FC Aidil Sharin Sahak, kesilapan pada separuh masa pertama dimanfaatkan untuk bangkit pada separuh masa kedua.

"...pada separuh masa kedua, kami melakukan aksi yang sangat baik dan kemenangan ini layak. Aksi yang ditampilkan pemain melayakkan mereka mengutip tiga mata.

"Saya perlu memberikan ganjaran kepada mereka hasil kemenangan malam ini," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI