fb fb fb fb fb

Terengganu FC tundukkan NSFC, 3-2

Keputusan penuh Terengganu FC (TFC) menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin

KUALA NERUS, 31 Julai- Perlawanan antara Terengganu FC (TFC) yang melayan kunjungan Negeri Sembilan FC (NSFC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak malam tadi berakhir dengan keputusan memihak tuan rumah dengan 3-2.

Bagaimanapun pasukan pelawat bawah kendalian ketua jurulatih, Azzmi Aziz terlebih dahulu berada di hadapan pada babak awal permainan.

Gol pertama diperoleh pada minit ke-15, hantaran di luar kotak penalti oleh Takumi Sasaki yang ditanduk Miguel Angel Junco Martinez dan terus menerjah jaring gawang tuan rumah yang melepasi jangkauan penjaga gol Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin.

Kesan kekalahan 4-0 pada perlawanan sebelum ini menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) jelas menunjukkan aksi permainan anak-anak buah Tomislav Steinbruckner tidak menjadi.

Terutama ketika beraksi tanpa kelibat pemain tengah berpengaruh Nurillo Tukhtasinov, pemain pertahanan Ubaidillah Shamsul dan ismael Akinade dibahagian serangan pada separuh babak pertama.

Namun begitu ketika tambahan minit kecederaan sebelum rehat, kapten TFC Safawi Rashid mengembalikan semula gema sorakan penyokong sang penyu di stadium apabila menyamakan kedudukan satu sama menerusi tendangan percuma, di luar kotak penalti.

Ia sekali gus menerobos gawang NSFC dikawal Muhammad Aqil Abdul Razak yang sebelum itu cemerlang menafikan beberapa percubaan pemain tuan rumah.

Namun kemasukan Nurillo pada awal separuh babak kedua bersama-sama Chijioke Chukwu Nnabuike sebagai pemain gantian yang menggantikan Akram Mahinan dan Muhammad Sharif Haseefy berjaya merubah rentak permainan.

Hasilnya pada minit ke-48, TFC kembali di hadapan apabila Chukwu Nnabuike berjaya menanduk masuk bola hantaran Akhyar Rasif untuk kedudukan 2-1.

Namun kedudukan tersebut tidak lama apabila pasukan pelawat memanfaatkan kelonggaran di bahagian benteng pertahanan TFC menerusi Jacque Faye untuk menjadikan kedudukan jaringan kembali terikat, 2-2 pada minit ke-52.

Pada minit ke-58, Akhyar Rasif tidak melepaskan peluang ketika berhadapan dengan Muhamad Aqil dengan melepaskan tendangan leret, selepas menerima hantaran Marin Pilj untuk memastikan TFC kembali mendahului jaringan gol, untuk kedudukan 3-2. 

Kedudukan tersebut kekal hingga wisel penamat dibunyikan pengadil perlawanan Muhammad Khairulsyahmi Ahmad Khalidi.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI