(Pemain Perak FC Muhamad Afif Asyraf (kiri) mengawal bola sambil dikawal pemain Pasukan Projek FAM-MSN
Lokman Bah Di (kanan) dalam saingan Liga Premier Malaysia 2022 di Stadium Perak malam tadi/BERNAMA)
IPOH, 22 Ogos- Perak FC gagal memanfaat peluang beraksi di dalam sendiri selepas tewas 1-3 kepada Skuad Projek FAM-MSN, malam tadi.
Kekalahan tersebut sekali gus menutup peluang skuad The Bos Gaurus untuk beraksi dalam saingan Piala Malaysia, tahun ini.
Skuad kendalian Yusri Che Lah bagaimanapun terlebih dahulu di depan seawal minit ke-6 menerusi jaringan penyerang import Stipe Plazibat.
Tersentak dengan jaringan itu, Skuad Projek FAM-MSN kembali memperkemas permainan sebelum berjaya menghasilkan gol penyamaan menerusi rembatan dari luar kotak penalti oleh Muhammad Amirul Akmal Safarinizam pada minit ke-42.
(Pemain Perak FC Stipe Plazibat (kanan) mengawal bola ketika bertemu pasukan Projek FAM-MSN
dalam saingan Liga Premier Malaysia 2022 di Stadium Perak malam tadi/BERNAMA)
Bersambung babak kedua, asakan berterusan pasukan pelawat membuahkan hasil apabila Muhammad Izzat Zikri Iziruddin berjaya menghadiahkan gol kedua pada minit ke-56.
Kelekaan barisan pertahanan Perak FC terus dihukum berselang 4 minit kemudian, apabila Muhammad Farris Izdiham Awang Kechik menyumbat gol ketiga pasukan pelawat, sekali gus menghadiahkan kemenangan pertama Skuad Projek FAM-MSN dalam saingan Liga Premier tahun ini.
Jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah mengakui, ketiadaan beberapa pemain utama akibat kecederaan dan penggantungan memberi impak kepada persembahan pasukannya malam tadi.
"Kita kehilangan banyak pemain yang mampu memberikan impak dalam perlawanan, saya 'take the blame', bukan niat untuk nak rehatkan mana-mana pemain, mungkin kita tak pernah keluarkan kenyataan tentang kecederaan pemain.
"Tapi walaupun pilihan yang macam mana sekalipun kita seharusnya berasa malu dengan kekalahan yang tak seharusnya diterima oleh kita terutama bertemu dengan pasukan skuad projek dan perlu diingat skuad projek tahun kedua, bukan tahun pertama mereka lebih matang dari segi permainan," katanya.
(Yusri Che Lah)
Sementara itu, pengendali Skuad Projek FAM-MSN, Hassan Sazali Waras nyata gembira dengan keputusan perlawanan malam tadi.
"Saya sendiri rasa bangga dengan persembahan yang telah dilakukan oleh pemain-pemain di mana daripada kefahaman taktikal yang saya sampaikan kepada mereka, mereka sesuaikan dengan begitu cepat untuk memenangi perlawanan pada malam ini meski pasukan tengah ketinggalan 1-0 tapi mereka tetap ada sifat untuk bermain," menurutnya.
(Hassan Sazali Waras)