(Ng Tze Yong)
TOKYO, 22 Ogos- Pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong bermula dengan langkah kanan pada aksi Kejohanan Dunia apabila mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua, pagi tadi.
Tze Yong menyingkirkan juara Masters Malaysia dari Indonesia, Chico Aura Dwi Widoyo 21-16, 21-10 dalam aksi pusingan pertama.
Ia adalah kemenangan kedua berturut-turut Tze Yong, yang berada di kedudukan ranking ke-42 dunia, ke atas Chico selepas turut mengatasi lawan berkenaan ketika Cabaran Antarabangsa Indonesia pada tahun 2019.
Dalam temubual selepas perlawanan, Tze Yong mengatakad tekad untuk mencipta sesuatu, biarpun penampilannya di Tokyo diibaratkan sebagai 'nasib'.
Tze Yong layak ke Kejohanan Dunia pada saat akhir susulan penarikan diri pemain dari negara lain.
"Mula-mula sekali, kehadiran saya di sini (Kejohanan Dunia) adalah kerana nasib, jadi saya akan gunakan peluang ini sebaik mungkin.
"Saya cuba untuk tidak terlalu memikirkan siapa lawan saya di sini, dan mahu lupakan kemenangan di Komanwel tempoh hari supaya lebih fokus serta buat yang terbaik untuk meraih mata demi mata," kata Tze Yong sambil mengakui tidak meletakkan sebarang sasaran di Tokyo.
Tze Yong akan berdepan pemenang perlawanan antara pemain Jepun, Kanta Tsuneyama dan Sitthikom Thammasin dari Thailand bagi perebutan tempat ke pusingan ketiga.
Pemain berusia 22 tahun itu hadir di Tokyo dengan motivasi tinggi susulan kejayaannya mencipta kejutan memenangi pingat perak saingan individu di Sukan Komanwel Birmingham 2022, selain membantu skuad negara meraih emas dalam acara berpasukan campuran.
(Ng Tze Yong)