IPOH, 14 Disember - Perak FA mencatat kemenangan besar di Ipoh selepas menewaskan Seoul Phoenix FC, 8-0, petang tadi.Skuad Seladang dipaksa bekerja keras di awal permainan sebelum gol pembukaan hadir pada minit ke-23 menerusi rembatan Akmal Hazim Ismail.
Fadhil Idris kemudian menjadikan kedudukan 2-0 hasil rembatan dari luar kotak penalti berselang empat minit kemudian.
Gol ketiga Perak FA dijaringkan oleh Alif Zikri selepas menyudahkan bola hantaran Ekene Victor pada minit ke-34.
Anak buah Syamsul Saad kemudian menambah gol keempat hasil tandukan Fadhil Azmi pada minit ke-38.
Bersambung babak kedua, giliran tonggak import Ekene Victor mencatat nama selaku penjaring menerusi gol pada minit ke-68 dan 72.
Gol ketujuh Perak FA disumbangkan Iffat Fahmi pada minit ke-86 sebelum J. Tamotehran melengkapkan kemenangan dengan gol kelapan berselang dua minit kemudian.
Kemenangan itu menyaksikan Perak FA memintas Johor Darul Ta'zim II (JDT 2) untuk berada di kedudukan kedua liga dibezakan empat mata dengan pendahulu Selangor FC II.