fb fb fb fb fb

Azni sekadar berpuas hati bawa pulang perak, acara bawah 65 kilogram

Atlet angkat berat negara, Aznil Bidin.-Foto Bernama

THAILAND, 14 Disember - Atlet angkat berat negara, Aznil Bidin terpaksa bermandi peluh dan menahan debaran hingga ke angkatan terakhir sebelum berpuas hati membawa pulang pingat perak dalam kategori bawah 65 kilogram pada Sukan SEA Thailand 2025, sebentar tadi.

Aznil memulakan saingan acara 'snatch' dengan penuh keyakinan apabila berjaya mengangkat bebanan 133 kilogram (kg) pada percubaan pertama, namun usaha untuk meningkatkan bebanan kepada 136kg pada angkatan kedua tidak berhasil.

Percubaan ketiga juga gagal disempurnakan, memaksa atlet negara itu kekal dengan catatan 133kg bagi acara 'snatch'.

Dalam acara 'clean and jerk', Aznil kembali mempamerkan aksi bertenaga apabila berjaya mengangkat 167kg pada percubaan pertama sebelum meneruskan momentum cemerlang dengan angkatan 173kg pada percubaan kedua.

Bagaimanapun, percubaan ketiga untuk mengangkat 175kg tidak kesampaian, sekali gus menafikan peluangnya untuk memintas kedudukan teratas dan menghadiahkan pingat emas buat negara.

Secara keseluruhan, Aznil mencatatkan jumlah angkatan 306kg untuk meraih pingat perak, hanya satu kilogram di belakang pemenang emas dari Thailand, Thongsuk Patsaphong, yang mengumpul 307kg.

Pingat gangsa pula menjadi milik wakil Indonesia, Irawan Eko Yuli, dengan catatan 304kg.

ASHRIQ FAHMY AHMAD