fb fb fb fb fb

Emas beregu wanita negara, hadiah bermakna buat peminat badminton - Hannah

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.-Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 14 Disember - Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh merakamkan ucapan tahniah kepada gandingan beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah, susulan kejayaan meraih pingat emas Sukan SEA Thailand 2025, sekali gus menamatkan penantian 10 tahun negara dalam acara berkenaan.

Menerusi hantaran di media sosial, Hannah menyifatkan kejayaan itu bukan sekadar kemenangan di gelanggang, sebaliknya hadiah bermakna buat sokongan, harapan dan doa peminat badminton negara yang sekian lama menantikan kebangkitan beregu wanita di pentas Sukan SEA.

“Sepuluh tahun menunggu dan akhirnya detik yang dinanti telah tiba. Penampilan pertama Pearly dan Thinaah di Sukan SEA menghadiahkan emas buat negara,” katanya.

Beliau turut memuji keberanian dan ketenangan gandingan nombor dua dunia itu dalam menghadapi tekanan final, sambil menyifatkan kejayaan berkenaan sebagai debut bersejarah yang akan terus dikenang.

“Debut yang berani, kemenangan yang bersejarah. Terima kasih kerana menamatkan kemarau yang panjang. Tahniah Pearly dan Thinaah,” katanya.

Kejayaan Pearly-Thinaah itu menyaksikan Malaysia kembali menguasai acara beregu wanita Sukan SEA buat kali pertama sejak edisi 2015 di Singapura.

ASHRIQ FAHMY AHMAD