THAILAND, 14 Disember - Penantian 34 tahun skuad sepak takraw lelaki negara berakhir apabila Malaysia menjuarai pingat emas acara regu berpasukan di Sukan SEA Thailand 2025, sebentar tadi.
Lebih manis, kejayaan bersejarah itu hadir di bumi lawan apabila pasukan negara menewaskan tuan rumah Thailand 2-1 dalam perlawanan penuh mendebarkan di Nakhon Pathom.
Aksi final bermula mencabar buat Malaysia apabila regu pertama negara yang dibarisi Haziq Hairul Nizam, Muhammad Noraizat Nordin dan Amirul Zazwan Amir tewas tipis kepada trio Thailand Pornthep Thinbangbon, Phutawan Sopa dan Marukin Phanmakon.
Bagaimanapun, kekalahan itu tidak mematahkan semangat skuad negara, sebaliknya menjadi titik kebangkitan dalam regu kedua.Regu Syahir Rosdi, Azlan Alias dan Farhan Adam tampil dengan aksi penuh berani dan kemas untuk menewaskan Siriwat Sakha, Thawisak Thongsai dan Rachan Viphan, sekali gus mengikat kedudukan 1-1 dan mengheret perlawanan ke regu penentuan.
Sorakan ribuan penyokong tuan rumah di venue gagal menggugat fokus pemain Malaysia apabila regu ketiga negara, Zulkifli Razak, Afifudin Razali dan Aidil Aiman Azwawi, mempamerkan ketenangan luar biasa sebelum menewaskan Kritnasanapong Nontakote, Varayut Jantarasena dan Wuttinun Kamsanor.
Kemenangan tersebut sekali gus memastikan pingat emas menjadi milik Malaysia, menamatkan kemarau sejak edisi 1991 di Filipina.
Kejayaan anak buah jurulatih Ahmad Jais Baharun itu juga mengukuhkan status negara sebagai antara kuasa besar sepak takraw Asia Tenggara, selain menjadi suntikan moral penting buat kontinjen negara di Sukan SEA Thailand 2025.